Assalamualaikum warahmatullahi wabaraktuh.
Beberapa hari yang lepas saya ada di soal seorang sahabat di facebook. Katanya, “Kalau kita nak berubah perlu ke kita mendapat hidayah?” (begitulah soalannya jika saya tidak silap).
Ya, memang tak dinafikan untuk kita berubah hijrah diri kearah menjadi seorang muslim/muslimah yang taat berkhlak mulia kita perlu meraih, kita perlu berusaha mendapatkan hidayah Allah SWT. Sesungguhnya ia adalah suatu yang amat bernilai dan hidayah itu adalah Nur yang menerangi hati-hati daripada kegelapan kepada cahaya, daripada layu kepada subur dan daripada keras menjadi lembut. Dan hidayah itu milik Allah, maka kepada-Nya lah seharusnya kita bermohon. Bukannya kepada ustaz-ustaz atau ustazah-ustazah atau mana-mana orang alim.
Untuk berubah tak boleh dipaksa-paksa tetapi memerlukan hidayah, keinsafan dan petunjuk daripada Allah SWT. Benar, bukan mudah untuk kita berubah dari buruk kepada yang lebih baik, kerana ia umpama kita bergerak dari tempat tinggal kita ke sebuah tempat yang asing bagi kita dan untuk sampai ke tempat asing itu banyak halangan-halangan dan rintangan yang perlu kita hadapi. Sesungguhnya halangan-halangan itulah ujian daripada Allah SWT untuk menguji hamba-hamba-Nya sejauh mana kesungguhan kamu dan sejauh mana ketaqwaan kamu kepada Allah. Allah Maha Penyayang, tidaklah Dia menguji hamba-hamba-Nya melainkan sesuai dengan kemampuan kita.
Bila hadirnya nawaitu untuk berubah, jangan sesekali kita berlengah-lengah bimbang kita tidak mampu melawan nafsu dan bisikan syaitan yang tidak pernah berhenti berusaha daripada menyesatkan keturunan Nabi Adam, itulah sumpah mereka. Untuk berubah kita perlukan bimbingan supaya kita dapat memperbaiki kelemahan diri kita dan membetulkan pemahaman kita terhadap agama kita. Selain itu kita boleh jadikan pengalaman seseorang yang telah berjaya membebaskan diri dari kejahilan masa lalu mereka sebagai peniup semangat untuk kita berubah.
Islam adalah agama yang mulia, apabila kita melakukan suatu kesalahan dan kemudian kita tersedar, maka bersegeralah bertaubat. Kita perlu membaiki hubungan kita dengan Allah SWT yang menjadikan kita dan yang memberikan kita bermacam-macam nikmat (nikmat kesihatan, harta, isteri, anak-anak dan sebagainya). Allah SWT berfirman dalam surah Ar-Rahman dan ayat-ayat ini berulang-ulang banyak kali; “Maka nikmat Tuhan yang manakah kamu dustakan?”. Alim ulama berkata bahawa untuk bertaubat itu harus menetapi tiga syarat, iaitu:
1. 1>Hendaklah menghentikan segera maksiat yang dilakukan,
2. 2>Menyesal kerana telah melakukan kemaksiatan tadi (atau sebelum-sebelum-Nya),
3. 3>Berniat tidak akan kembali mengulangi perbuatan maksiat itu untuk selama-lamanya.
Barangsiapa berniat mengerjakan suatu amalan yang bersangkutan dengan ketaatan kepada Allah ia mendapatkan pahala. Demikian pula jika seseorang itu berniat hendak melakukan sesuatu kebaikan tetapi terhalang dari melakukannya maka dalam hal ini orang itu tetap juga dikurniakan pahala. Diriwayatkan dalam sebuah hadis; “Niat seseorang itu lebih baik daripada amalannya”.
Mengenai berkongsi pengalaman untuk berubah, baru-baru ini saya ada menonton siaran ulangan Selami Jiwa yang di hoskan oleh Dato’ Dr. Hj Fadzilah Kamsah, tajuknya ‘Bertudung’. Saya tertarik dengan pengalaman seorang artis jemputan iaitu Catriona Rohayati Ross yang kini telah bertudung dan menutup aurat. Katanya; “Pada 16 Julai yang lepas saya menemani kawan karib saya ke butik untuk mencai tudung. Lamanya diorang mencari tudung, saya pun dah boring, saya ambil satu tudung saya cuba. Dan waktu itu saya tahu nama saya diseru Tuhan sebab sepantas kilat saya terasa seperti ada angin yang bertiup ke dalam jiwa saya. Saya rasa takut saya tanggalakan tudung tu cepat-cepat. – kawan saya nampak muka saya berubah, dia tanya kenapa? Saya cakap teringin nak memakai tudung. –saya kena gelak dengan diorang sebab mereka kenal saya
kan. So diorang cakap, takpe-takpe nanti bulan puasa cuba pakai tudung. Yang sorang lagi cakap, takpe tahun depan azam tahun 2011. Saya ikut gelak tapi dalam hati saya tahu takkan sampai sejauh tu, takkan boleh selama tu. "
Kemudian kata beliau lagi menceritakan pengalamannya sewaktu bercuti di Australia bersama keluarga; “Sewaktu saya sampai di Australia adakah saya akan tanggalkan tudung dan saya takut sebenarnya sewaktu saya sampai, saya takut bila saya terpandang semua orang asing dekat sana yang ber’skirt’ pendek, yang rambutnya panjang sampai ke pingang, saya takut saya teringin nak tanggalkan tudung tapi Alhamdulillah 7 hari dekat sana 7 hari saya bangga dengan berseluar panjang, blouse, tudung dan tidak sesekali saya tanggalkan. –setiap hari saya berdoa kepada Tuhan agar hidayah yang diberi kepada saya, agar tiupan roh baru yang ditiupkan kepada saya pada 16 Julai sehingga kini tidak akan ditarik kembali”.
Kemudian saya tertanya-tanya, bagaimana pula kita nak membantu rakan-rakan kita supaya berubah. Ia ikutlah jalan yang ditunjukkan dan tarbiyah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Yakni secara halus, berhikmah dan penuh kelembutan bukan secara paksaan yang keras. Bukankah sudah menjadi lumrah hati manusia yang tidak senang kepada konsep paksaan.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah 155:
“Nescayalah, kami akan memberikan cabaran sedikit kepadamu semua seperti ketakutan, kelaparan kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan, kemudian sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”
No comments:
Post a Comment