Dalam sebuah hadis riwayat daripada Anas bin Malik RA;
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, Allah akan mengumpulkan semua manusia pada hari kiamat. Pada ketika itu mereka memandang penting masalah syafaat. Ibnu Ubaid berkata mereka diberi ilham untuk bertanyakan hal itu. Mereka berkata, kalaulah kita dapat memohon syafaat kepada Tuhan, supaya Dia mengizinkan kita berehat daripada keadaan kita ini. Oleh itu mereka pergi kepada Nabi Adam AS, lalu berkata, wahai Adam, engkau adalah bapa kepada semua makhluk iaitu manusia. Allah telah menciptakanmu dengan tangan-Nya dan meniupkan roh ke dalam badanmu serta telah memerintahkan para malaikat supaya sujud kepadamu. Syafaatilah kami di hadapan Tuhanmu, supaya mengizinkan kami berehat daripada keadaan begini. Adam menjawab, aku tidak boleh berbuat begitu sambil menyebutkan kesalahan yang pernah dilakukannya yang membuatkan baginda merasa malu kepada Tuhan kerana kesalahan tersebut sebaliknya baginda menyuruh kami menemui Nabi Nuh, rasul pertama yang diutuskan oleh Allah.
Lantas mereka pergi menemui Nabi Nuh AS, namun baginda berkata, aku tidak boleh berbuat begitu sambil menyebutkan kesalahan yang pernah dilakukannya yang membuatkan baginda merasa malu kepada Tuhan, kerana kesalahan tersebut sebaliknya menyuruh mereka menemui Nabi Ibrahim AS yang telah dianggap sebagai kekasih Allah. Mereka pun pergi menemui Nabi Ibrahim AS. Baginda juga berkata, aku tidak boleh berbuat begitu sambil menyebutkan kesalahan yang pernah dilakukannya yang membuatkan baginda merasa malu kepada Tuhan, kerana kesalahan tersebut tetapi baginda menyuruh kami menemui Nabi Musa AS yang pernah diajak berbicara oleh Allah dan diberikan kitab Taurat.
Mereka pun pergi menemui Nabi Musa AS. Baginda juga berkata, aku tidak boleh berbuat begitu sambil menyebutkan kesalahan yang pernah dilakukannya yang membuatkan baginda merasa malu kepada Tuhan, kerana kesalahan tersebut tetapi baginda menyuruh kami menemui Nabi Isa AS Rohullah dan Kalimah-Nya. Mereka pun pergi menemui Nabi Isa AS Rohullah dan Kalimah-Nya. Baginda juga berkata, aku tidak boleh berbuat begitu, tetapi pegilah kamu semua kepada Nabi Muhammad SAW, hamba Allah yang telah diampuni dosanya yang terdahulu dan yang terkemudian. Rasulullah SAW meneruskan sabda baginda, mereka datang kepadaku, lalu aku meminta izin kepada Tuhan. Aku pun diberikan keizinan. Ketika aku melihat-Nya, aku jatuh dalam keadaan bersujud. Dia memanggil-manggilku, kemudian difirmankan kepadaku, angkatlah kepalamu wahai Muhammad! Katakanlah sesuatu, engkau akan didengar. Pohonlah, engkau akan diberi. Syafaatilah, aku akan terima syafaat yang engkau pinta. Aku mengangkat kepalaku dan memuji Tuhan dengan pujian yang telah diajarkan oleh Allah kepadaku.
Kemudian aku member syafaat. Allah member batas-batas kepadaku. Lalu aku mengeluarkan lagi orang-orang dari neraka dan memasukkan mereka ke dalam syurga. Kemudian aku kembali jatuh bersujud. Maka dia memanggilku sebagaimana Dia kehendaki kemudian difirmankan kepadaku, angkatlah kepalamu wahai Muhammad! Katakanlah, engkau akan didengar. Pohonlah, engkau akan diberi. Syafaatilah, aku akan terima syafaat yang engkau pinta. Perawi hadis berkata, aku tidak pasti sama ada pada kali ketiga atau kali yang keempat baginda bersabda, wahai Tuhanku! Yang masih ada di dalam neraka hanyalah orang-orang yang ditahan oleh Al-Quran iaitu orang yang seharusnya kekal di dalam neraka.
(Riwayat daripada Anas bin Malik RA, Muslim dalam kitab ‘Iman’. Hadis no.248)
gambar hiasan
Sesungguhnya, hanya orang yang ikhlas dalam memperjuangkan deen Allah SWT sahaja yang layak menerima syafaat daripada Nabi Muhammad SAW kelak. Tiada keraguan pada hati mereka soal isi kandung Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
No comments:
Post a Comment