Pages

Thursday, January 6, 2011

Rasul Pembawa Risalah

Surah Yunus : 47;

“Dan bagi tiap-tiap umat ada seorang rasul masing-masing (menerangkan apa yang mesti diterangkan) maka hukuman pun dijalankan di antara mereka dengan adil dan mereka tetap tidak dianiayai.”


Ertinya, tidak ada bangsa, tidak ada kumpulan manusia didunia ini yang Allah SWT turunkan suatu bencana (berat) tanpa mengirimkan risalah terlebih dahulu kepada mereka (melalui utusan-Nya yang terpilih dari dalam kalangan kaum atau bangsa tersebut). Sesungguhnya tiap-tiap umat diberikan Allah SWT seorang rasul masing-masing.

Tambahan pula, para nabi Allah AS adalah para penguatkuasa yang menguatkuasakan undang-undang yang telah digubal oleh Allah SWT kepada semua makhluk di muka bumi ini. Mereka memainkan peranan penting dalam memimpin umat manusia daripada tersasar apa yang telah ditetapkan oleh-Nya. Segala hal yang disampaikan oleh para nabi ini wajib keatas kita menurutinya dan beriman dengannya. Dan hukuman yang dijalankan dalam sesebuah Negara itu hendaklah selari dengan syariat dan dijalankan dengan secara adil dan saksama.

Misalnya, seorang peniaga;dia tidak boleh menjual barang curi, tidak melakukan ikhtikar, tidak boleh menipu dalam timbangan, tidak boleh menyorokkan barang jualan dan lain-lainnya. Sekiranya kita ingkar, padah yang amat pedih menanti di akhirat kelak.

>"Saad bin Ubadah telah berkata, seandainya aku mendapati seorang lelaki bersama isteriku, maka tanpa maaf lagi. Akan aku pancung dia dengan pedang. Apabila kata-kata Saad itu disampaikan kepada Rasulullah SAW, baginda pun bersabda, apakah kamu merasa hairan dengan kecemburuan Saad? Demi Allah! Aku lebih cemburu daripadanya, malahan Allah lebih lagi cemburu-Nya daripadaku kerana kecemburuan Allah itulah, maka Allah mengharamkan segala kejahatan yang ketara mahupun terselindung. Tidak ada yang lebih cemburu selain daripada Allah. Tidak ada seorang pun yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada orang yang mahu mendengar peringatan.

Oleh sebab itulah, Allah mengutus para rasul untuk memberikan berita gembira dan memberikan peringatan serta tidak ada seorangpun yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada orang yang selalu memuji-Nya. Oleh sebab itu jugalah, Allah telah menjanjikan syurga".

(Hadis riwayat Al-Bukhari daripada Saad bin Ubadah dalam kitab “Al-Tauhid, Hadis no: 68666)


-Dipetik daripada buku ‘Hidayah’ ; siri kuliyah tafsir Al-Quran karya TGNA/ cetakan pertama 2009.

No comments:

Post a Comment

Total Pageviews

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...