Pages

Sunday, June 19, 2011

Isu Program Ustazah Pilihan

Baru-baru ni, Astro Oasis telah menyiarkan iklan untuk program rancangan selanjutnya selepas IMAM MUDA 2, iaitu USTAZAH PILIHAN. Sebelum pengumuman rancangan ini, saya ada mendengar ura-ura akan program rancangan ini melalui satu forum perdana yang saya hadiri pada bulan lepas, yang mana disampaikan oleh hos Imam Muda iaitu Ustaz Zulkarnain Hamzah.

Selepas dua tiga hari, tersiar di kaca televisyen yang mengumumkan akan program rancangan yang serupa seperti Imam Muda, tetapi 'ahli' nya adalah dari kalangan wanita. Dan tajuk rancangan ini ialah Ustazah Pilihan.


Merujuk kepada siaran di metro tempoh hari, Ustazah Pilihan akan menjadi satu-satunya program televisyen didominasi golongan wanita sepenuhnya.

Pada mulanya, saya menjangkakan sambutan yang baik, rupa-rupanya salahsangkaan saya. Pelbagai komen-komen, hujah-hujah dan pendapat-pendapat dan juga kritikan hebat yang diutarakan supaya rancangan ini dibatalkan. Jelas sekali memperlihatkan penolakan orang ramai dan kata tidak setuju sehingga tertubuhnya fan page di facebook "HARAMKAN Ustazah Pilihan" yang lebih daripada 2000 orang meyokongnya.

Antara komen mereka adalah 'jangan jadikan kaum wanita sebagai hiburan dan tatapan kepada kaum Adam', 'wanita muslimah bukan bahan hiburan, bukan barang tontonan', dan banyak lagi. Dan yang terbaru, mereka akan menghantar memo/surat bantahan rancangan Ustazah Pilihan kepada pihak penerbitan Astro Oasis.

Mengulas keadaan ini, saya berasa tak senang duduk apabila melihat umat Islam (orang muda) bertelagah dan berdebat 'comment' di facebook. Saya melihat ada yang benar, dan ada juga yang salahnya. Apa yang nak disentuh disini adalah barang yang salah, iaitu fitnah dan buruk sangka. Pelbagai tanggapan negatif dan andaian bersifat menhukum yang diberikan terutamanya bab tabarruj bagi kaum wanita. Setahu saya, program rancangan Ustazah Pilihan ini belum lagi disiarkan, bagaimana mereka tahu yang peserta-peserta yang menjalani program ini bertabarruj sedangkan belum dimulakan lagi apa-apa pemilihan?. Tapi saya tahu kenapa mereka memberi andaian sedemikian, kerana bila dah masuk kaca televisyen, mestilah perlu bersolek dan berhias kan.

Apa itu tabarruj?(sekadar pengetahuan umum)
Tabarruj dikatakan sebagai berjalan dengan berlenggang-lenggok atau memperelokkannya. Ada juga yang mengatakan bahawa tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatkannya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Lagi satu pendapat lain mengatakan, tabarruj ialah memperlihatkan keelokkan/kecantikkannya yang sepatutnya wajib ditutup.

Baiklah, berbalik kepada isu rancangan Ustazah Pilihan ini. Saya sependapat dengan komen Imam Muda Asyraf. Katanya, "Lepas saya lihat sendiri perjalanan program ini, maka saya akan beri komen yang lebih adil sebelum terlajak menghukum tanpa mendatangkan hujjah dan bukti". Jadi sebaik-baiknya, sebelum kita menjatuhkan hukum, seeloknya kita soal siasat dulu ambil penjelesan dari pihak penyiaran. Bukan menghukum membuta tuli dan berburuk sangka.

Tambahan, saya juga setuju dengan kenyataan Ustaz Azhar Idrus, "Selagi tak dijalankan (rancangan Ustazah Pilihan) tak boleh dijamin samada ikut syariat atau tidak...apa yang Rasulullah SAW ajar kita semua, kaum wanita tidak dijadikan hiburan dan peraduan kerana sifat mereka itu sendiri yang mudah memberi fitnah...".

Saya puji semangat orang muda yang berusaha mempertahankan maruah wanita, dan megelakkan mereka daripada menjadi bahan tontonan dan hiburan seperti tayangan gambar yang bermain baik di pawagam mahupun di kaca televisyen. Saya percaya, pihak Astro Oasis telah siap mengkaji dan merangka siap rancangan bagi aktiviti-aktiviti dan metod pembelajaran dan dakwah yang akan dimuatkan dalam program Ustazah Pilihan.

Sehubungan dengan itu, adalah perlu bagi kita soal selidik terlebih dahulu sebelum menghukum. Dan kita sebagai orang awam, apa kata kita memberi idea-idea, pendapat dan pandangan yang ilmiah supaya apa yang kita ragukan tidak terjadi. Dalam memberi kritikan itu seeloknya biarlah berhikmah, berbunyi nasihat dan teguran supaya tidak menimbulkan kekecohan, salah faham, menyakitkan hati mana-mana pihak dan sebagainya yang boleh mencemarkan imej umat Islam itu sendiri. Elakkan buruk sangka dan jauhi fitnah.

Mengenai program Ustazah Pilihan, saya berfikir program ini mempunyai tujuan dan mesej yang sama seperti program Imam Muda, iaitu untuk melahirkan pendakwah-pendakwah muda yang bertanggungjawab menjadi ikon, pembimbimg, pendidik dan pembentuk generasi baru disamping menimbulkan rasa minat anak-anak muda untuk mempelajari Islam.

Bila direnung kembali, barangkali program ini lebih dikhususkan menyelesaikan masalah kaum wanita di zaman ini dan segala hal yang berkaitan dengan hal kaum wanita. Misalnya masalah penutupan aurat yang sememangnya jelas diambil ringan dan remeh oleh kaum wanita(bukan semuanya). Dan masalah krisis gender seperti Tomboy(wanita/perempuan yang menyerupai leleaki).

Dalam membantu menyelesaikan konflik masalah dan pandangan kaum wanita pada hari ini, saya merasakan kaum wanita lebih mudah untuk memahami dan menyelami perasaan sesama mereka. Sama seperti program Imam Muda yang mana cuba membantu menyelesaikan kemelut dalam masyarakat Islam yang wujud pada zaman ini dan membetulkan pandangan masyarakat amnya.

Cadangan dari saya untuk mengelakkan wanita-wanita ini daripada bahan tontonan seperti yang dibimbangi oleh sesetengah masyarakat, apa kata program ini disiarkan pada waktu yang mana tiada sorang lelaki(muslim) pun yang dapat menonton televisyen ketika itu. Iaitu pada waktu solat Jumaat dan memadailah setengah jam sahaja siarannya. Kemudian penyiaran 5 minit seperti kapsul Imam Muda, dijalankan seperti biasa sekadar untuk menunjukkan aktiviti dan sesi pembelajaran yang dialaui oleh ustazah-ustazah pilihan ini. Mungkin dari sini dapat memberi sedikit inspirasi kepada penonton-penonton Astro Oasis, terutamanya ibu bapa, dan kaum hawa.

Ambillah yang jernih, buang yang keruh. Kata Imam Syafie, nak mendapatkan keredhaan daripada seluruh umat manusia adalah sesuatu perkara yang tidak akan bisa tercapai.


No comments:

Post a Comment

Total Pageviews

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...